Sunday 28 September 2014

KONSEP TOLERANSI BERAGAMA DALAM MASYARAKAT SABAH

Malaysia diiktiraf dalam mengamalkan sifat toleransi dalam beragama. Kekaguman banyak pihak atas sifat dan persefahaman ini membawa kepada wujudnya pelancongan budaya dalam kalangan warga asing. Jelas keharmonian antara agama merupakan suatu perkara yang unik di Negara bertuah ini.

Konsep ”Satu Malaysia” yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato Sri Mohd. Najib Tun Razak pada tahun 2009 amat bertepatan ketika rakyat di Negara sedang merayakan ulang tahun kemerdekaan kali ke-52 selaras dengan visi kerajaan pimpinan Perrdana Mentreri yang menjurus ke arah matlamat baru iaitu, "rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan." (People first, achievement now).
Di Sabah, rakyat sudah menikmati kemerdekaan kurang daripada 52 tahun kerana Sabah merdeka pada 16 September 1963, namun melalui konsep yang diilhamkan oleh Najib menggambarkan Sabah yang mempunyai lebih daripada 30 etnik sudah lama menempah hidup dalam suasana aman damai setelah terlepas dari cengkaman penjajah Inggeris.

Ramai yang berpendapat bahawa konsep kesatuan itu sebenarnya sudah wujud di Sabah sejak sekian lama, ini disebabkan penduduk di Sabah adalah terdiri daripada rakyat yang mempunyai pertalian hubungan persaudaraan dalam kalangan beberapa suku kaum.

Di Sabah suku kaum terbanyak ialah Kadazandusun. Pada tahun 1970, suku kaum ini merupakan 28.2% daripada jumlah penduduk Sabah. Ketika itu masyarakat Kadazandusun ramai tinggal di kawasan Pedalaman dan kini ramai sudah berhijrah ke kawasan lain. Semantara masyarakat Murut pula ramai yang menetap di Pedalaman sehingga ke kawasan sempadan Kalimantan.

Di kawasan Pedalaman juga terdapat suku kaum Lundayeh yang dahulunya sehingga sekarang ramai tinggal di kawasan hulu Sungai Mengalong dalam daerah Sipitang. Himpunan suku kaum itu juga kini sudah bertaburan di merata tempat di Sabah.

Masyarakat tempatan seperti Murut, Rungus, Dusun Tatana, Dusun Lotud, Bonggi dan lain-lain adalah dikatakan menjadi rumpun Kadazandusun.

Bajau pula adalah masayarakat yang menghimpunkan beberapa serpihan suku bangsa seperti Iranun, Suluk, Ubian dan lain-lain lagi yang ramai tinggal di pesisir pantai dan di tebing-tebing sungai. Mayarakat Bajau yang keseluruhannya beragama Islam dikatakan antara penduduk yang terbanyak di Sabah. Suku kaum ini juga terdapat di seluruh negara.

Terdapat juga suku-suku bangsa yang lain seperti Kedayan, Orang Sungai, Iranun, Tidong, Bisaya, Brunei dan lain-lain lagi. Masyarakat Brunei sudah mula menetap di Pantai Barat Sabah sejak wilayah tersebut di bawah takluk jajahan Kesultanan Brunei pada zaman dahulu.

Syarikat-syarikat tembakau dan getah yang dipelopori oleh syarikat berpiagam British pada 1880-an telah mendatangkan masyarakat Cina Hakka, Kanton, Hokkien dan Teochew sebagai buruh di syarikat-syarikat berkenaan. Selepas Perang Dunia ke-2, penghijrahan masyarakat Cina ke Sabah semakin bertambah dan sejak itulah masyarakat Cina di Sabah dikatakan yang kedua terbanyak selepas Kadazandusun.

Sejak selepas Perang Dunia Pertama orang Jawa dari Indonesia sudah mula berhijrah ke Sabah. Sejak 1911 kedatangan masyarakat dari Indonesia selain Jawa semakin ramai berhijrah ke Sabah.

Kedatangan masyarakat lain dari Semenjung, Sarawak, Brunei, Indonesia, Fillipina, Eropah dan lain-lain negara ke Sabah semacam tidak dapat dielakkan, tambahan pula kalau mereka datang mengikut saluran yang betul.



Sikap toleransi antara pelbagai kaum di Sabah mula terjalin melalui sistem “tamu” yang wujud sejak Sabah diperintah oleh Inggeris lagi. Semua kaum akan berkumpul di tamu yang sering diadakan di pekan-pekan yang berhampiran. Sistem tamu telah dapat menanam rasa harmoni dan persefahaman antara kaum dan ia berlarutan sehingga sekarang walaupun kesan ideologi politik telah menodai konsep yang terjalin buat sekian lama.

Di Semenanjung, penduduk asalnya ialah Melayu yang mempunyai beberapa cabang suku etnik dan kebanjiran pelbagai etnik sudah mula sejak 3,000 sebelum Masihi lagi. Kemunculan Asia Tenggara terutama sekali Melaka sebagai pusat dagangan utama di Semenanjung pada kurun ke-15 menyebabkan kebanjiran etnik lain datang ke sana dan menetap bersama-sama penduduk tempatan dan mereka kini berstatus orang Malaysia.

Walaupun Semenanjung Malaysia sudah mempunyai pelbagai etnik seperti Jakun, Temuan, Semelai namun orang Melayu mengikut sejarahnya telah mula menetap di sana sejak lebih daripada 5,000 tahun dahulu. Apabila iklim perdagangan kian rancak kedatangan pedagang yang berbilang bangsa juga kian rancak ke Semenanjung.

Pendatang seperti Cina dan India sudah lama berlaku. Orang Cina mula berhijrah ke Semenanjung sejak kurun ke-19 dan berkerja di lombong-lombong bijih timah, sementara kedatangan masyarakat Tamil India juga berlaku pada kurun ke-19 kebanyakkannya di bawah masuk atas perjanjian koloni Inggeris dan Belanda untuk dijadikan buruh binaan seperti mmbuat jalan raya dan jambatan dan suku kaum ini juga berkerja di ladang tebu, teh, kopi dan getah.

Di Sarawak masyarakat peribuminya terdiri daripada Iban, Melanau, Kayan, Kenyah, sementara lain-lainnya terdiri dairpada Bidayu, Kelabit, Murut, Punan, Bisaya, Kedayan, Brunei, Melayu dan lain-lain.
Pembangunan komposisi masyarakat di Sarawak juga terjadi ekoran aktiviti perdagangan dan perniagaan serta perladangan.

Masyarakat Cina Hakka berhijrah ke Sarawak berlaku pada kurun ke-19 setelah pemerintahan Sarawak diambil alih oleh James Brooke. Bilangan besar masyarakat Cina yang datang ke Sarawak berasal dari Sambas dan masyarakat ini menjalankan perusahaan perlombongan emas. Etnik Hokkien datang ke Kuching sekitar tahun 1980-an. Sekitar tahun 1857, jumlah masyarakat Cina di Sarawak sudah mencecah lebih kurang 4,000 orang.

Rakyat Malaysia semakin bertambah bilangannya, suku kaumnya juga banyak. Dari sudut lain pengaruh setengah-setengah etnik masih mengambil tempat di kalangan masyarakat. Para pejuang etnik masih lagi berusaha untuk menonjolkan etnik masing-masing di mata masyarakat. Ia dilihat semacam ada persaingan antara etnik, ada juga etnik yang terpingir dan terasing serta ada etnik yang begitu menonjol sekali sehingga ia dikenali sebagai simbol dan identiti kebangsaan.

Pun begitu kini konsep “Satu Malaysia” diperkenalkan ia mempunyai dasar rakyat tetap didahulukan dan pencapaian pula perlu akan diutamakan. Kita yakin melalui konsep ini semua rakyat akan dilayan sama rata dengan tidak mengira enik dan status.

Konsep Satu Malaysia adalah dasar baru kerajaan di peringkat nasional yang meliputi negeri-negeri di Semenanjung, Sarawak dan Sabah termasuklah Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan yang akan mencorakkan prespektif seluruh masyarakat.

Konsep Satu Malaysia amat menarik walaupun pengertiannya dalam kalangan rakyat biasa masih kabur. Rakyat percaya para pemimpin di peringkat nasional dan negeri akan memainkan peranan untuk menyalurkan maksud yang tersirat dan tersurat kepada semua peringkat penduduk melalui pelbagai bentuk aktiviti harian.

Satu Malaysia adalah resepi yang ideal untuk semua rakyat Malaysia. Semangat kebangsaan dalam bentuk kesepakatan budaya, kesamarataan hak, toleransi beragama, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, setiakawan antara semua kaum amat diharapkan akan menjadi realisasi bagi mencapai matlamat Satu Malaysia.

Perpaduan merupakan matlamat penting bagi negara seperti Malaysia yang boleh menjamin kesejahteraan hidup rakyat yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan agama. Perlembagaan Persekutuanpun telahpun menjelaskan matlamat sebenar.

Satu proses yang menyatupadukan anggota-anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka (rakyat) Petikan dari buku Negara Kita.

Matlamat ini dipercayai akan tercapai dengan mengamalkan konsep dalam Rukun Negara itu.

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang dan
  • Kesopanan dan Kesusilaan
Lagu kebangsaan Negara Ku juga sebagai petunjuk kepada naluri dan perasaan serta semangat rakyat yang menetap di negara Malaysia yang berperlembagaan dan berparlimen.

Sesungguhnya setiap agama mengajar penganutnya  berbuat baik kepada sesama manusia, menghormati hak orang lain, dan melarang kepada perlakuan yang merosakkan. Inilah yang diterima oleh majority penganut pelbagai agama di Malaysia dan kefahaman ini perlu ditingkatkan demi kesejahteraan Negara tercinta ini.


No comments:

Post a Comment